PENGALAMAN BERHARGA BUAT PELUMBA, PASUKAN DI KEJUARAAN DUNIA FIM MINIGP VALENCIA

Valencia, 14 November – Para pelumba remaja negara terpaksa akur kepada kehebatan pencabar-pencabar mereka dari Eropah pada pusingan akhir FIM MiniGP World Series yang bersaing buat pertama kali di pentas antarabangsa dan telah mempamerkan prestasi memberangsangkan juga mendapat kepujian daripada Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin dan pihak Dorna yang juga merupakan penganjur bagi Perlumbaan MotoGP.

Dengan saingan kelayakan kepada perlumbaan utama atau ‘Main Race’ cukup getir dengan penyertaan yang besar para pelumba diundi untuk berlumba dalam beberapa kumpulan, ketiga-tiga pelumba negara – Farres Putra, Farish Hafiy dan Emir Idzhar tidak berjaya untuk menempatkan diri di tempat pertama dalam sesi kelayakan masing-masing untuk terus bersaing di peringkat akhir pada kejuaraan remaja yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Dorna pada tahun ini.

Sementara Farres Putra mendapat tempat keenam dalam Sesi Kelayakan Perlumbaan 1 dan tempat ketiga dalam Sesi Kelayakan Perlumbaan 2, Farish Hafiy pula menamatkan saingan dengan tempat kelapan dalam Sesi Kelayakan Perlumbaan 1 dan tempat keempat pada Sesi Kelayakan Perlumbaan 2 yang disertainya. Emir Idzhar pula menduduki tempat kesembilan pada Sesi Kelayakan Perlumbaan 1 dan tempat keempat pada Sesi Kelayakan Perlumbaan 2.

Zulfahmi, bekas pelumba Moto3 negara yang berpengalaman dengan saingan di peringkat tertinggi dunia, memilih untuk memandang ke hadapan dengan pencapaian anak-anak buahnya dan berazam untuk memantapkan lagi program yang dilaksanakan oleh ZK Racing bersama-sama dengan Sepang International Circuit (SIC) dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

“Kita adalah negara Asia tunggal yang menghantar pelumba pada saingan FIM MiniGP World Series, yang diadakan pertama kali tahun ini. Para pelumba negara mempamerkan prestasi yang baik walaupun mereka hanya mempunyai masa satu bulan untuk latihan dan pertandingan kerana arahan PKP berikutan penularan wabak Covid-19.”

“Para pelumba negara cukup kompetitif dalam saingan dan mempamerkan semangat juang yang tinggi. Walaupun jatuh dalam perlumbaan, mereka bangkit kembali untuk terus berlumba. Mereka turut mempamerkan keupayaan untuk berkomunikasi dengan krew pasukan dan memberi input tentang prestasi jentera masing-masing.”

“Secara keseluruhan, pihak Dorna dan FIM cukup gembira dengan program ini. Malahan, para pelumba MotoGP yang kami temui turut menyatakan sokongan mereka; dan gembira program untuk Malaysia dikendalikan oleh Zulfahmi Khairuddin. Kami yakin pertandingan ini akan berkembang tahun depan dan lebih kompetitif dengan penyertaan lebih banyak negara dan pelumba. Bagi MAM, kami berharap untuk mengembangkan lagi program ini termasuk membuka pertandingan di litar-litar lain termasuk di Langkawi untuk mendedahkan para pelumba dengan lebih banyak pertandingan.”

“Katanya, para pelumba dan seluruh pasukan Malaysia yang bersama-sama menguruskan persediaan mereka menimba pengalaman cukup berharga di Valencia, yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk persiapan pada masa akan datang khususnya saingan bagi perlumbaan pusingan akhir FIM MiniGP World Series tahun depan.” Ulas Setiausaha Agong MAM, Muizz Azli.

“Tahniah diucapkan kepada pelumba cilik negara kita, Farres Putra, Emil Idzhar, dan Farish Hafiy kerana mereka telah mempamerkan aksi yang memberangsangkan. Namun, tuah tidak berpihak kepada mereka untuk mara ke peringkat seterusnya. Saya percaya dengan pengalaman yang mereka timba sepanjang berada di Valencia, mereka mempunyai potensi yang besar untuk pergi lagi jauh. Kita perlu tingkatkan prestasi untuk terus bersaing dengan pelumba dari negara lain.” Ulas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

“Perlumbaan ini banyak memberi pengalaman dan pembelajaran dalam saingan ke perlumbaan utama ‘Main Race’ 1 dan 2 serta ke Super Final untuk kejuaraan pertama pusingan akhir FIM MiniGP World Series ini. Cabaran kita bermula daripada hari Rabu di mana para pelumba kita tidak mempunyai ‘pace’ (kelajuan) yang mencukupi untuk bersaingan dengan para pelumba lain. Ini, sekali gus, meletakkan para pelumba negara dalam situasi yang sukar untuk layak ke ‘Main Race’ dan Super Final. Apapun, secara keseluruhan, saya cukup berpuas hati dengan semangat dan kesungguhan yang dipamerkan oleh semua pelumba. Saya tahu mereka berusaha dengan sebaik mungkin dan mencuba bersungguh-sungguh. Jadi, saya amat berterima kasih kepada semua para pelumba.”

“Sekarang, kita sudah tahu tahap kita di mana berbanding dengan para pelumba dari negara- negara lain. Jadi, kita perlu melipatgandakan usaha kita. Saya harap supaya kita dapat memantapkan dan mempertingkatkan lagi program yang kita jalankan sekarang dan pastikan para pelumba Malaysia lebih baik pada World Series tahun depan. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan Terima Kasih kepada ZK Racing, MAM dan SIC atas sokongan mereka terhadap program ini.”Ulas Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.